Siapakah Ashabus Suffah? Ashabus suffah ialah orang - orang Islam yang turut berhijrah bersama - sama Rasulullah SAW ke Madinah. Mereka berasal dari pelbagai pelusuk tanah Arab. Mereka sanggup berkorban meningalkan kampung halaman, harta kekayaan, binatang ternak, kebun, dan bergabung dengan Rasulullah SAW di Madinah dengan hanya sehelai sepinggang.
Mereka sering menahan kelaparan dengan mengikat seketul batu di perut untuk mengurangkan rasa pedih di perut. Kadangkala perkara itu berlarutan selama beberapa hari.
Apabila Rasulullah SAW mendapat hadiah makanan, Baginda SAW akan mendahulukan Ashabus Suffah. Baginda SAW akan meminta golongan itu makan dahulu dan jika berbaki, barulah Rasulullah SAW akan makan.
Lihatlah, betapa sayangnya Rasulullah SAW kepada golongan yang mengikutnya berhijrah semata - mata kerana IMAN...
Abu Hurairah RA ialah salah seorang dari golongan Ashabus suffah. Pada suatu hari, Abu Hurairah RA telah menerima hadiah semangkuk susu. Memanglah beliau teringin sekali untuk minum susu itu tetapi Abu Hurairah RA terlalu kasihkan Nabi Muhammad SAW. Maka setiap hadiah tak kira kecil mahupun yang besar, akan diberitahukan kepada Rasulullah SAW.
Berkenaan dengan hadiah semangkuk susu itu, hati Abu Hurairah RA amat berat untuk memberitahu kepada baginda Rasulullah SAW tetapi tetap diteruskan juga niatnya, lalu dijawab oleh Rasulullah SAW:
"Kalau begitu, bawalah susu itu kepada para sahabat kita dari kalangan Ashabus suffah. Berilah mereka minum susu itu."
Abu Hurairah RA akur tetapi hatinya berkata - kata: "Habislah harapanku untuk dapat minum susu ini. Tak mungkin semangkuk susu cukup untuk diberikan kepada Ashabus suffah."
Seterusnya, sahabat daripada Ashabus suffah pun meminum susu itu sepuas - puasnya, tetapi MASYA-ALLAH, susu di dalam mangkuk itu tidak brkurangan pun! Selepas itu, Abu Hurairah RA membawa susu itu kembali kepada Rasulullah SAW. Baginda bertanya: " Sudahkah mereka kesemuanya minum wahai Abu Hurairah?"
Jawab Abu Hurairah RA: "Sudah ya Rasulullah, hanya aku dan engkau sahaja yang belum minum."
Rasulullah berkata: "Kalau begitu engkau minumlah dahulu."
Lalu Abu Hurairah RA pun minum susu itu sepuas - puasnya.
"Minumlah lagi wahai Abu Hurairah," perintah baginda SAW lagi, lalu Abu Hurairah meminum lagi air susu itu.
"Minumlah lagi wahai Abu Hurairah."
Abu Hurairah RA menjawab: "Demi Allah ya Rasulullah, tidak ada lagi ruangan di perutku untukku isi dengan air susu ini."
Rasulullah SAW tersenyum dan menerima mangkuk itu daripada tangan Abu Hurairah RA lalu baginda SAW meminum susu itu sehingga habis. (hadis riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment